Tuesday, January 18, 2011
Undi Proksi - kenyataan Media DPPM
SISTEM UNDI PROKSI BAKAL MEROSAKKAN SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA!
17 Januari ’11 / 12 Safar 1432
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah cadangan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mahu mewujudkan sistem undi proksi. Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sistem undi proksi ini dibuat bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.
DPPM merasakan cadangan SPR untuk mewujudkan undi proksi ini tidak wajar dilaksanakan. Ini kerana undi proksi mudah terdedah dengan pelbagai manipulasi dan penipuan. SPR tidak menjelaskan siapakah proksi yang layak dilantik bagi menggantikan pemilih yang tidak dapat hadir pada hari mengundi.
Meskipun sistem ini dilaksanakan dengan kawalan ketat, DPPM merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar. Mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar. Justeru mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir.
Selain itu, sistem ini boleh mewujudkan rasuah pilihanraya di mana pengundi sebenar boleh diugut atau dipujuk agar memberikan hak mereka kepada proksi. Tidak ada siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa pengundi sebenar menyerahkan hak mereka kepada proksi tanpa apa-apa pujukan, tawaran, mahupun ugutan. Jika undi proksi benar-benar diadakan, DPPM berpendapat tidak ada faedahnya diadakan kempen pilihanraya apabila pemilih sebenar tidak turun mengundi, sebaliknya diserahkan kepada pengundi proksi yang tidak tahu latar belakang parti politik mereka.
DPPM mengingatkan kepada SPR agar menjayakan proses pilihanraya yang sedia ada dengan secara lebih telus dan adil. Mencadangkan sistem yang baru dengan tidak memperbaiki sistem yang sedia ada tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di Malaysia.
Pakatan Rakyat telah lama mendesak agar sistem celup jari digunapakai bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali, membersihkan daftar pemilih, serta menghapuskan undi pos. Seharusnya SPR melihat dahulu kepada pelaksanaan sistem undi pos yang sangat dicurigai kerana berlaku ketempangan yang jelas dalam mana-mana pilihanraya.
DPPM juga menegaskan agar SPR tidak masuk campur dalam pertempuran politik antara Pakatan Rakyat dengan BN. Biarlah pilihanraya ke 13 akan datang berlangsung dengan suasana paling tenang dan aman. Janganlah kerana keadaan BN yang sedang nazak, SPR cuba untuk menyambung talian hayat mereka. Rakyat tidak akan sesekali boleh ditipu buat kesekian kalinya.
Disediakan oleh;
YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sunday, January 16, 2011
Normala Sudirman calon PAS di Tenang
LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.
Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam ini.
Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku
Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.
Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.
Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.
Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.
Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.
Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.
Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. http://www.pas.org.my/v2/
Thursday, January 13, 2011
Kenyataan Media: Program 100 Hari Pakatan Rakyat
via: http://duniacacamarba.blogspot.com/
Umno ni..dalam dok nazak pun masih sombong !
( Dango Mamamat) via albanjari online v2
Tuesday, January 11, 2011
'Pentingkan perbelanjaan rakyat bukan kroni': Ust Idris Ahmad
Sehubungan itu, menurut Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad, beliau hairan dengan kenyataan Najib yang mendakwa program 100 hari Pakatan Rakyat akan menyaksikan generasi akan datang merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.“Soalnya, apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat di samping menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga.
“Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi?
Salahkan beri imbuhan?
“Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Idris, Najib gusar dengan tindakan Pakatan Rakyat itu dan cuba menimbulkan keraguan tentang kemampuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan.
Di bawah perancangan program 100 hari itu, Pakatan Rakyat antara lain akan memberikan imbuhan tambahan RM500 kepada para guru dan membekalkan subsidi lebih banyak untuk minyak dan gas memasak serta menstrukturkan sistem tol.
“PAS mengucap terima kasih kepada Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu,” katanya sinis.
Beliau juga mempersoalkan adakah Najib sudah mengambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadangkan pembinaan Menara Warisan 100 tingkat.
Katanya, wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1,667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu membekalkan biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang. Wang itu juga mampu menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir.
Idris juga mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan yang hanya memperuntukan RM178 juta untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta rakyat di tiga negeri atau hanya kira-kira 3.6 peratus daripada kos pembinaan Menara Warisan.
Pelik dan hairan
“Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Seri Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta?” soalnya lagi.
PAS, katanya merasa hairan dengan kenyataan seorang perdana menteri yang mendakwa ekonomi Malaysia akan terjerumus ke kancah penghancuran seperti Greece jika mengikut perancangan Pakatan.
Menurut Idris, BN menggunakan hujah yang sama ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990 dan memperlekehkan parti Islam itu dengan dakwaan mereka hanya mampu memerintah selama tiga bulan sahaja.
Dakwaan BN-Umno itu, katanya hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidak cekapan dan salah urus.
Begitu juga, tambahnya ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno mendakwa perbelanjaan itu satu bentuk pembaziran.
“Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengudi dalam setiap pilihan raya,” katanya.
Pakatan sebelum ini berkata dengan menangani hanya dua masalah - rasuah dan ketirisan serta memotong subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) - Pakatan akan mampu menjimatkan negara RM51 bilion.
Justeru, menurut Idris, - Najib tidak perlu ragu dengan sumber yang bakal diperolehi untuk meneruskan program 100 hari berkenaan.
Semua membazir
“Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion.
“Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama kendalian Datin Seri Rosmah selama tiga hari yang (menelan perbelanjaan) hampir RM4.5 juta,” katanya.
Idris berkata walaupun sumber terhad, namun PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan Rakyat mampu dilaksanakan. Ini berdasarkan pengalamanya di Kelantan yang mementingkan kebajikan rakyat.
“Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat,” katannya.
Progress Pembinaan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah
Monday, January 10, 2011
Perjuangan Islam bukan hak PAS
| Ismail Hashim Harakahdaily |
| SHAH ALAM, 10 Jan: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengutuskan ucapan salam kepada mereka yang masih menolak perjuangan Islam tetapi pada sama memohon ke hadrat Allah SWT bagi mencapai maksud mereka. Mursyidul Am PAS berkata, perjuangan Islam bukan hak PAS, ulamak atau Nabi Muhammad tetapi milik Allah SWT sepenuhnya, kerana itu umat Islam tidak boleh tidak wajib mengambilnya sebagai jalan perjuangan siasah mereka. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan, jika di dalam kehidupan seharian mereka dan dalam medan politik menolak perjuangan Islam, bagaimana mungkin Allah SWT akan menerima permohonan mereka. "Inilah mesej perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad sepanjang 23 tahun kehidupan baginda di Makkah dan Madinah bagi mengajar dan mendidik umat Islam pada zaman awal hingga kini dalam semua perkara termasuk politik. "Jika Islam ini hanya untuk melakukan ibadat solat, puasa, zakat dan haji sehaja memadailah Nabi Muhammad hidup atau berjuang dalam beberapa tahun sahaja tetapi perjuangan baginda memakan masa selama 23 tahun. "Justeru, saya mengharapkan umat Islam agar kembali mengambil jalan Islam dan berpegang teguh dengan perjuangan Islam untuk mendapat anugerah Allah di dunia mahupun di akhirat kelak," tambahnya lagi. Tuan Guru membuat penegasan itu di hadapan lebih 30 ribu rakyat yang berhimpun di dalam program Solat Hajat dan Ceramah Perdana anjuran PAS Pusat yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini, malam tadi. Turut berucap dalam majlis itu adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Majlis dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dimulakan dengan ucapan aluan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pengarah program. Sebelum itu, selepas solat Maghrib secara berjamaah di tengah arena dengan diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, tazkirah disampaikan oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Senator Dr Husin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga exco kanan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut hadir. Sementara itu, kehadiran Tuan Guru Mursyidul Am disambut dengan laungan Allahu Akbar dan tepukan bergemuruh dari puluhan hadirin atas kesanggupannya memandangkan keadaan kesihatan terkini beliau mutakhir. Sekali lagi, semua hadirin memberikan penghormatan kepada beliau kerana sanggup berucap sambil berdiri walaupun pengurusan majlis sedia memberikan peluang kepadanya berucap sambil duduk. "Berceramah ini serupa menyampaikan khutbah Jumaat dan kerana itu, mesti mengambil pendekatan berkhutbah yang disyaratkan berdiri," tegasnya seterusnya memulakan ucapannya mengisahkan tentang setiap orang mesti melalui kematian. Mengulas kondisi berharga itu, Ustaz Idris mengingatkan hadirin tentang kewajaran pertingkatkan tahap perjuangan ke aras lebih maksima dalam kalangan ahli berusia muda kerana paling kurang, merasai 'segan' dengan kesanggupan perjuangan Tuan Guru. |
