Thursday, February 10, 2011

Revolusi ‘mulut ke mulut’ mampu jatuhkan BN


Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 10 Feb: Jika rakyat mengamalkan 'revolusi mulut ke mulut' secara bermaklumat sudah memadai untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, ianya tidak payah menerusi revolusi Facebook sebagaimana yang menjadi amalan rakyat Mesir untuk menghukum presiden mereka, Hosni Mubarak.

"Kita di sini jika mengamalkan ‘revolusi mulut ke mulut pun’ dah memadai asalkan ia dilaksanakan secara agresif pasti Umno dan BN tumbang lama dah. Tapi masalahnya terutama orang Melayu tidak mahu buka mulut untuk menyedarkan pada orang lain walaupun tahu mereka dizalimi," terang beliau ketika berceramah di Permatang Tinggi 'C' malam tadi.

Revolusi tersebut, katanya walaupun nampak mundur tetapi amat berkesan kerana melalui percakapan ia membawa kepada kepekaan rakyat.

Tambahan pula, ujarnya rakyat sendiri sedang melihat kenaikan harga barangan seharian, kadar tol, petroleum dan sebagainya.

Tugas anggota Pakatan Rakyat, ujarnya ialah menyalurkan maklumat terkini kepada semua ahli dan pendukung supaya ia dibawa ke serata kampung, pinggir pekan, taman perumahan mahupun bandar supaya mereka memahami masalah yang dihadapi negara.

"Kumpulan yang sedar harus menyedarkan kumpulan yang mungkin kesedaran mereka masih jauh. Inilah tugas kita sebagai anggota masyarakat yang aktif menjalankan usaha melalui revolusi mulut ke mulut secara bermaklumat," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, satu lagi perkara yang harus diketengahkan kepada masyarakat ialah tentang penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang tidak membawa apa-apa keuntungan pada orang Melayu.

Penubuhan Teraju sambungnya, sekadar menonjolkan kebanggaan BN sahaja di saat akhir pilihan raya umum walhal semua orang tahu penubuhannya sekadarmembuka pekung di dada bahawa selama ini Majlis Amanah Rakyat (Mara), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sebagainya gagal membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Pembubaran Kementerian Usahawan dan Koperasi di era Tun Abdullah Ahmad Badawi pun jelas membuktikan kerajaan tidak serius membantu kaum Bumiputera sedangkan kementerian tersebut merupakan satu kementerian yang ada menteri, timbalan menteri dan setiausaha kementerian," tambahnya.

Teraju kata beliau, hanya ada seorang CEO yang berfungsi mengawal semua yang berkaitan agenda ekonomi untuk orang Melayu yang tentunya kerja itu menjadi bertambah sukar dan mustahil berjaya melakukan pembaharuan ekonomi ataupun politik orang Melayu. Mkini

Wednesday, February 9, 2011

PAS prihatin bantu institusi pendidikan rakyat


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Pelancaran Dana Pendidikan PAS pada 13 Februari ini di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam membuktikan parti itu prihatin terhadap institusi pendidikan rakyat.

Pengarah Program Makan Malam sempena pelancaran dana itu, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan Dana Pendidikan PAS adalah sebagai suatu komitmen PAS kepada institusi pendidikan khususnya dan masyarakat amnya dalam usaha untuk berganding bahu ke arah merealisasikan objektif yang digariskan.

Menurutnya, walaupun telah lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan, tetapi urusan pendidikan Islam masih terus menjadi tanggungjawab rakyat.

Tambahnya, tidak ketinggalan juga persoalan kedhaifan prasarana di sekolah agama rakyat (SAR) serta tidak ada pembelaan terhadap sekolah-sekolah pondok.

“Ini termasuk juga kesukaran para pentadbir SAR mentadbir urus perjalanan institusi pendidikan dengan terhadnya sumber kewangan serta penyerahan SAR menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) menuntut keprihatinan kita supaya satu langkah diambil untuk menangani isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, objektif diwujudkan dana itu adalah untuk membantu pembiayaan para pelajar dalam usaha melahirkan para ulama dan petugas parti, membantu institusi pendidikan rakyat merangkumi keperluan prasarana dan pengurusan di samping memberi bantuan untuk kebajikan guru dan pelajar serta perlaksanaan program-program berorientasikan pendidikan.

Katanya, majlis yang bermula jam 8.30 malam itu akan dihadiri oleh Presiden PAS dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr Haron.

Katanya, majlis dimulakan dengan makan malam diikuti persembahan multimedia, ucapan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pendidikan dan Pengisytiharan LPA oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Monday, February 7, 2011

SAH Calon PAS tanding DUN Merlimau: Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara meletakkan calon daripada parti PAS bagi menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti DAP di sini, sebentar tadi.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh penaman calon adalah 26 Februari ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan bermesyuarat pada 13 Februari ini bagi membincangkan calon yang akan diketengahkan Pakatan Rakyat bagi DUN Merlimau. -BH

Sunday, February 6, 2011

HIMPUNAN 30 RIBU PEMUDA PAS - MASA UNTUK BERUBAH


Gambar Usrah MTD Guar Sanji 3 Feb 2010 di Chantek Bangun

Seperti kebiasaan, Usrah dimulakan dengan bacaan Surah Yasiin




Naqib jemputan YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad, EXCO Kerajaan Negeri Kedah

Penyampaian sumbangan oleh Pengarah MTD, Peguam Zulmi Sabri.

Tuesday, January 18, 2011

Undi Proksi - kenyataan Media DPPM

KENYATAAN MEDIA
SISTEM UNDI PROKSI BAKAL MEROSAKKAN SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA!
17 Januari ’11 / 12 Safar 1432

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah cadangan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mahu mewujudkan sistem undi proksi. Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sistem undi proksi ini dibuat bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

DPPM merasakan cadangan SPR untuk mewujudkan undi proksi ini tidak wajar dilaksanakan. Ini kerana undi proksi mudah terdedah dengan pelbagai manipulasi dan penipuan. SPR tidak menjelaskan siapakah proksi yang layak dilantik bagi menggantikan pemilih yang tidak dapat hadir pada hari mengundi.


Meskipun sistem ini dilaksanakan dengan kawalan ketat, DPPM merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar. Mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar. Justeru mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir.

Selain itu, sistem ini boleh mewujudkan rasuah pilihanraya di mana pengundi sebenar boleh diugut atau dipujuk agar memberikan hak mereka kepada proksi. Tidak ada siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa pengundi sebenar menyerahkan hak mereka kepada proksi tanpa apa-apa pujukan, tawaran, mahupun ugutan. Jika undi proksi benar-benar diadakan, DPPM berpendapat tidak ada faedahnya diadakan kempen pilihanraya apabila pemilih sebenar tidak turun mengundi, sebaliknya diserahkan kepada pengundi proksi yang tidak tahu latar belakang parti politik mereka.

DPPM mengingatkan kepada SPR agar menjayakan proses pilihanraya yang sedia ada dengan secara lebih telus dan adil. Mencadangkan sistem yang baru dengan tidak memperbaiki sistem yang sedia ada tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di Malaysia.

Pakatan Rakyat telah lama mendesak agar sistem celup jari digunapakai bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali, membersihkan daftar pemilih, serta menghapuskan undi pos. Seharusnya SPR melihat dahulu kepada pelaksanaan sistem undi pos yang sangat dicurigai kerana berlaku ketempangan yang jelas dalam mana-mana pilihanraya.

DPPM juga menegaskan agar SPR tidak masuk campur dalam pertempuran politik antara Pakatan Rakyat dengan BN. Biarlah pilihanraya ke 13 akan datang berlangsung dengan suasana paling tenang dan aman. Janganlah kerana keadaan BN yang sedang nazak, SPR cuba untuk menyambung talian hayat mereka. Rakyat tidak akan sesekali boleh ditipu buat kesekian kalinya.

Disediakan oleh;

YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sunday, January 16, 2011

Normala Sudirman calon PAS di Tenang

LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam ini.

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku

Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. http://www.pas.org.my/v2/