Wednesday, February 9, 2011

PAS prihatin bantu institusi pendidikan rakyat


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Pelancaran Dana Pendidikan PAS pada 13 Februari ini di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam membuktikan parti itu prihatin terhadap institusi pendidikan rakyat.

Pengarah Program Makan Malam sempena pelancaran dana itu, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan Dana Pendidikan PAS adalah sebagai suatu komitmen PAS kepada institusi pendidikan khususnya dan masyarakat amnya dalam usaha untuk berganding bahu ke arah merealisasikan objektif yang digariskan.

Menurutnya, walaupun telah lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan, tetapi urusan pendidikan Islam masih terus menjadi tanggungjawab rakyat.

Tambahnya, tidak ketinggalan juga persoalan kedhaifan prasarana di sekolah agama rakyat (SAR) serta tidak ada pembelaan terhadap sekolah-sekolah pondok.

“Ini termasuk juga kesukaran para pentadbir SAR mentadbir urus perjalanan institusi pendidikan dengan terhadnya sumber kewangan serta penyerahan SAR menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) menuntut keprihatinan kita supaya satu langkah diambil untuk menangani isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, objektif diwujudkan dana itu adalah untuk membantu pembiayaan para pelajar dalam usaha melahirkan para ulama dan petugas parti, membantu institusi pendidikan rakyat merangkumi keperluan prasarana dan pengurusan di samping memberi bantuan untuk kebajikan guru dan pelajar serta perlaksanaan program-program berorientasikan pendidikan.

Katanya, majlis yang bermula jam 8.30 malam itu akan dihadiri oleh Presiden PAS dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr Haron.

Katanya, majlis dimulakan dengan makan malam diikuti persembahan multimedia, ucapan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pendidikan dan Pengisytiharan LPA oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

No comments:

Post a Comment