Monday, January 10, 2011

Perjuangan Islam bukan hak PAS


Ismail Hashim
Harakahdaily

SHAH ALAM, 10 Jan: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengutuskan ucapan salam kepada mereka yang masih menolak perjuangan Islam tetapi pada sama memohon ke hadrat Allah SWT bagi mencapai maksud mereka.

Mursyidul Am PAS berkata, perjuangan Islam bukan hak PAS, ulamak atau Nabi Muhammad tetapi milik Allah SWT sepenuhnya, kerana itu umat Islam tidak boleh tidak wajib mengambilnya sebagai jalan perjuangan siasah mereka.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan, jika di dalam kehidupan seharian mereka dan dalam medan politik menolak perjuangan Islam, bagaimana mungkin Allah SWT akan menerima permohonan mereka.

"Inilah mesej perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad sepanjang 23 tahun kehidupan baginda di Makkah dan Madinah bagi mengajar dan mendidik umat Islam pada zaman awal hingga kini dalam semua perkara termasuk politik.

"Jika Islam ini hanya untuk melakukan ibadat solat, puasa, zakat dan haji sehaja memadailah Nabi Muhammad hidup atau berjuang dalam beberapa tahun sahaja tetapi perjuangan baginda memakan masa selama 23 tahun.

"Justeru, saya mengharapkan umat Islam agar kembali mengambil jalan Islam dan berpegang teguh dengan perjuangan Islam untuk mendapat anugerah Allah di dunia mahupun di akhirat kelak," tambahnya lagi.

Tuan Guru membuat penegasan itu di hadapan lebih 30 ribu rakyat yang berhimpun di dalam program Solat Hajat dan Ceramah Perdana anjuran PAS Pusat yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini, malam tadi.

Turut berucap dalam majlis itu adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dimulakan dengan ucapan aluan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pengarah program.

Sebelum itu, selepas solat Maghrib secara berjamaah di tengah arena dengan diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, tazkirah disampaikan oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Senator Dr Husin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga exco kanan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut hadir.

Sementara itu, kehadiran Tuan Guru Mursyidul Am disambut dengan laungan Allahu Akbar dan tepukan bergemuruh dari puluhan hadirin atas kesanggupannya memandangkan keadaan kesihatan terkini beliau mutakhir.

Sekali lagi, semua hadirin memberikan penghormatan kepada beliau kerana sanggup berucap sambil berdiri walaupun pengurusan majlis sedia memberikan peluang kepadanya berucap sambil duduk.

"Berceramah ini serupa menyampaikan khutbah Jumaat dan kerana itu, mesti mengambil pendekatan berkhutbah yang disyaratkan berdiri," tegasnya seterusnya memulakan ucapannya mengisahkan tentang setiap orang mesti melalui kematian.

Mengulas kondisi berharga itu, Ustaz Idris mengingatkan hadirin tentang kewajaran pertingkatkan tahap perjuangan ke aras lebih maksima dalam kalangan ahli berusia muda kerana paling kurang, merasai 'segan' dengan kesanggupan perjuangan Tuan Guru.

No comments:

Post a Comment